Thursday, December 3, 2015

Kepentingan Takaful

Pertama sekali saya bukan seorang penjual pakej takaful tetapi mempunyai takaful bagi menyiapkan diri untuk kecemasan khususnya dalam membiayai kos perubatan. Saya juga mempunyai prinsip saya sendiri dalam memilih produk-produk takaful yang mana ejen-ejen mungkin tidak setuju. Apa-apa pun buatlah keputusan setelah analisa dibuat berdasarkan sumber-sumber ilmiah yang bermanfaat. Bagaimanakah untuk mendapatkan sumber-sumber ilmiah tersebut? YA! Anda tepat! Teruskan baca artikel ini bagi mendapatkan sedikit sebanyak garis panduan untuk maklumat yang lebih terperinci.

Siapakah yang paling arif mengenai takaful di sini? Bagi saya bukan semua individu arif semua bidang dan ianya mengikut kepakaran khusus seseorang individu tersebut. Dalam kes ini sudah semestinya, ejen takaful adalah pihak lebih arif mengenai produk mereka kerana mereka dilatih mengenai produk-produk yang akan dipasarkan kepada pengguna atau klien mereka. Selain itu, risalah-risalah produk juga akan memberikan maklumat yang kita inginkan tetapi mungkin agak samar-samar kerana perkataan yang digunakan mungkin agak mengelirukan kita. Di manakah kita boleh dapatkan risalah-risalah tersebut? Layarilah laman-laman syarikat yang menawarkan takaful untuk mendapatkannya di samping maklumat tambahan dalam laman tersebut. Namun begitu, seperti yang dibincangkan di atas, sesetengah perkataan dan ayat mungkin mengelirukan kita seterusnya memerlukan penjelasan yang terperinci. Siapakah individu yang kita boleh hubungi untuk mendapatkan maklumat tersebut?

Setelah membuat sedikit sebanyak analisa terhadap produk-produk takaful, bolehlah hubungi ejen-ejen takaful yang kita kenal atau melalui talian yang dipaparkan dalam laman sesawang untuk mendapatkan penerangan. Saya sarankan agar tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis yang melebih kerana bukan semuanya di dunia ini datang dengan mudah. Oleh yang demikian, kita boleh menilai seseorang ejen dalam menerangkan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat takaful mereka. Ada yang menyatakan bahawa produk merekalah yang terbaik berbanding yang lain dan mulainya mengutuk syarikat-syarikat takaful yang lain. Sekiranya anda dihampiri oleh individu-individu seperti ini maka saya sarankan supaya mengelak daripada sambungkan perbincangan atau penjelasan yang anda inginkan. Untuk pengetahuan sama ada anda sedar atau tidak, terdapat ratusan atau mungkin ribuan ejen-ejen yang ingin tawarkan khidmat mereka. Dalam menilai seseorang ejen sama ada bersesuaian dengan anda, jarak perlu memainkan peranan yang penting kerana dalam urusan tadbir sekiranya berlaku sebarang tuntutan.

Kesimpulannya, kita perlu tahu apakah keperluan kita bukan tawaran yang diceritakan oleh ejen-ejen dan sentiasa berbalik kepada keperluan kita. Bagaimanakah untuk mengetahui keperluan kita? Luangkan masa untuk membaca dan menganalisa produk-produk yang ditawarkan dalam pasaran. Jangan sesekali membeli produk-produk takaful semata-mata kerana orang lain membeli kerana keperluan masing-masing adalah unik. Akhir kata, berkawanlah seramai yang mungkin dengan ejen-ejen takaful kerana maklumat yang dimiliki oleh mereka adalah sangat berharga dan ianya boleh membezakan berlian di dalam tambunan kaca.

No comments:

Post a Comment