Pertama
sekali saya bukan seorang penjual pakej takaful tetapi mempunyai takaful bagi
menyiapkan diri untuk kecemasan khususnya dalam membiayai kos perubatan. Saya
juga mempunyai prinsip saya sendiri dalam memilih produk-produk takaful yang
mana ejen-ejen mungkin tidak setuju. Apa-apa pun buatlah keputusan setelah
analisa dibuat berdasarkan sumber-sumber ilmiah yang bermanfaat. Bagaimanakah
untuk mendapatkan sumber-sumber ilmiah tersebut? YA! Anda tepat! Teruskan baca
artikel ini bagi mendapatkan sedikit sebanyak garis panduan untuk maklumat yang
lebih terperinci.
Siapakah
yang paling arif mengenai takaful di sini? Bagi saya bukan semua individu arif
semua bidang dan ianya mengikut kepakaran khusus seseorang individu tersebut.
Dalam kes ini sudah semestinya, ejen takaful adalah pihak lebih arif mengenai
produk mereka kerana mereka dilatih mengenai produk-produk yang akan dipasarkan
kepada pengguna atau klien mereka. Selain itu, risalah-risalah produk juga akan
memberikan maklumat yang kita inginkan tetapi mungkin agak samar-samar kerana
perkataan yang digunakan mungkin agak mengelirukan kita. Di manakah kita boleh
dapatkan risalah-risalah tersebut? Layarilah laman-laman syarikat yang
menawarkan takaful untuk mendapatkannya di samping maklumat tambahan dalam
laman tersebut. Namun begitu, seperti yang dibincangkan di atas, sesetengah
perkataan dan ayat mungkin mengelirukan kita seterusnya memerlukan penjelasan
yang terperinci. Siapakah individu yang kita boleh hubungi untuk mendapatkan
maklumat tersebut?
Setelah
membuat sedikit sebanyak analisa terhadap produk-produk takaful, bolehlah
hubungi ejen-ejen takaful yang kita kenal atau melalui talian yang dipaparkan
dalam laman sesawang untuk mendapatkan penerangan. Saya sarankan agar tidak
mudah terpengaruh dengan janji-janji manis yang melebih kerana bukan semuanya
di dunia ini datang dengan mudah. Oleh yang demikian, kita boleh menilai
seseorang ejen dalam menerangkan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat
takaful mereka. Ada yang menyatakan bahawa produk merekalah yang terbaik
berbanding yang lain dan mulainya mengutuk syarikat-syarikat takaful yang lain.
Sekiranya anda dihampiri oleh individu-individu seperti ini maka saya sarankan
supaya mengelak daripada sambungkan perbincangan atau penjelasan yang anda
inginkan. Untuk pengetahuan sama ada anda sedar atau tidak, terdapat ratusan
atau mungkin ribuan ejen-ejen yang ingin tawarkan khidmat mereka. Dalam menilai
seseorang ejen sama ada bersesuaian dengan anda, jarak perlu memainkan peranan
yang penting kerana dalam urusan tadbir sekiranya berlaku sebarang tuntutan.
Kesimpulannya, kita
perlu tahu apakah keperluan kita bukan tawaran yang diceritakan oleh ejen-ejen
dan sentiasa berbalik kepada keperluan kita. Bagaimanakah untuk mengetahui
keperluan kita? Luangkan masa untuk membaca dan menganalisa produk-produk yang
ditawarkan dalam pasaran. Jangan sesekali membeli produk-produk takaful
semata-mata kerana orang lain membeli kerana keperluan masing-masing adalah
unik. Akhir kata, berkawanlah seramai yang mungkin dengan ejen-ejen takaful
kerana maklumat yang dimiliki oleh mereka adalah sangat berharga dan ianya
boleh membezakan berlian di dalam tambunan kaca.
No comments:
Post a Comment