Showing posts with label Keseimbangan Kewangan. Show all posts
Showing posts with label Keseimbangan Kewangan. Show all posts

Thursday, December 3, 2015

Kepentingan Takaful

Pertama sekali saya bukan seorang penjual pakej takaful tetapi mempunyai takaful bagi menyiapkan diri untuk kecemasan khususnya dalam membiayai kos perubatan. Saya juga mempunyai prinsip saya sendiri dalam memilih produk-produk takaful yang mana ejen-ejen mungkin tidak setuju. Apa-apa pun buatlah keputusan setelah analisa dibuat berdasarkan sumber-sumber ilmiah yang bermanfaat. Bagaimanakah untuk mendapatkan sumber-sumber ilmiah tersebut? YA! Anda tepat! Teruskan baca artikel ini bagi mendapatkan sedikit sebanyak garis panduan untuk maklumat yang lebih terperinci.

Siapakah yang paling arif mengenai takaful di sini? Bagi saya bukan semua individu arif semua bidang dan ianya mengikut kepakaran khusus seseorang individu tersebut. Dalam kes ini sudah semestinya, ejen takaful adalah pihak lebih arif mengenai produk mereka kerana mereka dilatih mengenai produk-produk yang akan dipasarkan kepada pengguna atau klien mereka. Selain itu, risalah-risalah produk juga akan memberikan maklumat yang kita inginkan tetapi mungkin agak samar-samar kerana perkataan yang digunakan mungkin agak mengelirukan kita. Di manakah kita boleh dapatkan risalah-risalah tersebut? Layarilah laman-laman syarikat yang menawarkan takaful untuk mendapatkannya di samping maklumat tambahan dalam laman tersebut. Namun begitu, seperti yang dibincangkan di atas, sesetengah perkataan dan ayat mungkin mengelirukan kita seterusnya memerlukan penjelasan yang terperinci. Siapakah individu yang kita boleh hubungi untuk mendapatkan maklumat tersebut?

Setelah membuat sedikit sebanyak analisa terhadap produk-produk takaful, bolehlah hubungi ejen-ejen takaful yang kita kenal atau melalui talian yang dipaparkan dalam laman sesawang untuk mendapatkan penerangan. Saya sarankan agar tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis yang melebih kerana bukan semuanya di dunia ini datang dengan mudah. Oleh yang demikian, kita boleh menilai seseorang ejen dalam menerangkan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat takaful mereka. Ada yang menyatakan bahawa produk merekalah yang terbaik berbanding yang lain dan mulainya mengutuk syarikat-syarikat takaful yang lain. Sekiranya anda dihampiri oleh individu-individu seperti ini maka saya sarankan supaya mengelak daripada sambungkan perbincangan atau penjelasan yang anda inginkan. Untuk pengetahuan sama ada anda sedar atau tidak, terdapat ratusan atau mungkin ribuan ejen-ejen yang ingin tawarkan khidmat mereka. Dalam menilai seseorang ejen sama ada bersesuaian dengan anda, jarak perlu memainkan peranan yang penting kerana dalam urusan tadbir sekiranya berlaku sebarang tuntutan.

Kesimpulannya, kita perlu tahu apakah keperluan kita bukan tawaran yang diceritakan oleh ejen-ejen dan sentiasa berbalik kepada keperluan kita. Bagaimanakah untuk mengetahui keperluan kita? Luangkan masa untuk membaca dan menganalisa produk-produk yang ditawarkan dalam pasaran. Jangan sesekali membeli produk-produk takaful semata-mata kerana orang lain membeli kerana keperluan masing-masing adalah unik. Akhir kata, berkawanlah seramai yang mungkin dengan ejen-ejen takaful kerana maklumat yang dimiliki oleh mereka adalah sangat berharga dan ianya boleh membezakan berlian di dalam tambunan kaca.

Sunday, November 29, 2015

Berapa Murah Itu Murah?

Kita saban kali digalakkan untuk membandingkan harga untuk mendapatkan harga yang terbaik yakni yang paling murah. Kita mungkin betul dalam membandingkan sesuatu produk atau servis dalam menilai harga terhadap apa yang ditawarkan namun ada juga masa tertentu kita menilai tanpa membandingkan dengan apa yang patut dibandingkan. Contoh paling ketara adalah apabila membeli sebuah kereta di mana kita mungkin membandingkan jenama yang sama tetapi keperluan yang berlainan. Sebagai contoh kita mungkin akan membandingkan harga sebuah kereta Honda City dengan Honda Accord di mana ianya berada dalam kategori yang sememangnya sudah lain. Jadi, apakah model yang patut dibandingkan sekiranya ingin membeli kereta yang sama famili dengan Honda City? Ya! Anda tepat! Kereta yang mungkin boleh dibandingkan adalah terhadap Toyota Vios, Kia Forte, Chevrolet Cruze, dan seumpamanya.
Sedemikan juga dalam menilai sesebuah takaful yang ditawarkan, servis yang ditawarkan oleh peguam dalam membuat transaksi beli rumah, servis yang ditawarkan oleh perancang kewangan bertauliah, dan banyak lagi. Contoh yang boleh diambil dalam perkhidmatan takaful, sebagai seorang ejen takaful yang bertauliah amatlah penting dalam menasihatkan produk yang paling sesuai dengan klien berbanding kepentingan sendirinya untuk mencapat target jualan semata-mata. Saya tidak menafikan terdapat banyak ejen takaful yang amat membantu dalam membuat pilihan produk takaful berpandukan keperluan kita. Selain itu, dalam memilih peguam juga janganlah berkira dalam membayar yuran guaman sekiranya servis yang ditawarkan amat berbaloi. Bagaimanakah untuk menilai sama ada amat berbaloi atau tidak? Bagi saya daripada pengalaman peribadi, amatlah penting dapatkan rujukan daripada kawan-kawan yang pernah menjalankan urus niaga dengan peguam yang disarankan itu. Di sini saya ingin kongsikan pengalaman agak pahit bagi saya dalam menjalankan transaksi pembelian rumah di mana peguam yang dilantik memberi sejuta dan satu alasan dalam melewatkan urus niaga tersebut. Untuk pengetahuan semua, salah satu alasan yang kerap diberikan oleh peguam tersebut adalah saudaranya yang baru sudah meninggal dunia dan setakat menguruskan transaksi pembelian rumah tersebut, sudah hamper 20 saudara peguam tersebut telah meninggal dunia. Oleh yang demikian, jadikan diri anda agak cerewet dalam memilih peguam dalam menguruskan transaksi pembelian rumah anda.


Begitu juga dalam memilih produk-produk yang ditawarkan oleh pihak bank di mana perlu memihak kepada kita yakni boleh membina lebih banyak kekayaan daripada produk yang ditawarkan itu. Dalam menilai dan membandingkan mengenai harga sesuatu produk atau servis tidaklah kepada harga semata-mata. Saya sebagai seorang jurutera dalam memilih sesuatu teknologi perlulah dinilai daripada keperluan teknologi tersebut dan seterusnya baru kepada harga. Justeru itu, saya sarankan supaya dalam menilai sesuatu produk atau khidmat perlu kita membuat “technical bid evaluation” supaya ianya boleh memenuhi kriteria kita. Selamat mencuba dalam membuat penilaian dan perbandingan supaya kita lebih tahu terhadap apa yang diperlukan daripada apa yang ditawarkan semata-mata.

Wednesday, November 4, 2015

Kepentingan Kewangan Peribadi – Bahagian 3

Cara menguruskan aliran tunai kita akan mencerminkan kesihatan kewangan kita dan seterusnya akan dinilai oleh pihak-pihak bank sekiranya kita ingin menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh mereka. Cara pemikiran dan perbualan dalam dunia kewangan juga akan memberi impak yang membina atau membinasa dalam mencapai hala tuju kita untuk mencapai “financial freedom”.

Ini adalah kerana produk-produk yang ditawarkan oleh pihak bank amatlah membantu sekiranya kita dapat menganalisa produk-produk tersebut untuk memanfaatkan seadanya. Kebiasaannya kita akan dihujani dengan panggilan-panggilan daripada “tele-marketing” untuk pinjaman peribadi di mana ianya pra-lulus. Apakah yang dimaksudkan dengan pra-lulus? Anda tepat! Tepuk la tangan sikit untuk diri sendiri, apa salahnya. Pra-lulus selalunya adalah permohonan yang anda tidak pernah memohon tetapi anda ditawarkan kesan daripada kesihatan kewangan anda yang baik dengan bank tersebut. Saya selalu akan menolak tawaran tersebut kerana ianya bukan untuk keperluan kita pada masa tersebut dan ianya lebih kepada “tangkap muat”. Oleh yang demikian, haruslah berwaspada dengan produk-produk atau servis yang ditawarkan melalui “tele-marketing”.

Apakah produk-produk yang kita inginkan dalam mereliasasikan impian untuk mencapai “financial freedom”? Pada asasnya kita perlulah selesaikan hutang-hutang yang menggugat kesihatan kewangan kita sama ada dengan mengambil kemudahan (hutang baik yang dirancang) daripada bank-bank. Ada yang sarankan dengan selesaikan hutang-hutang yang amaunnya sedikit dan seterusnya menyelesaikan hutang yang paling besar. Hutang jahat atau dalam bahasa kesihatannya adalah kuman yang perlu dihapuskan demi menjamin kesihatan kita. Apabila kita mula berkecimpung fenomena hutang-dalam-hutang, saya ingin tekankan di sini bahawa kita perlu bertindak dengan nasihat pihak professional kerana silap langkah makin parah jadinya.


Alhamdulillah kita dapat selesaikan paling tidak satu hutang (hutang yang paling kecil) dan dalam proses untuk menyelesaikan hutang-hutang yang lain. Sealiran dengan misi menghapuskan hutang-hutang lapuk, kita juga perlu mengasingkan satu amaun untuk simpanan dan seterusnya melangkah lebih jauh untuk misi pelaburan. Misi-misi ini tidak mungkin tercapai sekiranya kita tidak menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak bank. Oleh yang demikian, amatlah penting untuk memanipulasi kemudahan yang ditawarkan untuk kebaikan kita dan ini hanya mungkin dengan ilmu sama ada diri sendiri atau melalui khidmat nasihat pakar dalam bidang perancangan kewangan. InshaaALLAH saya akan kupas sedikit sebanyak mengenai kemudahan “overdraft” yang membolehkan kita untuk bergerak lebih laju tetapi dengan had laju yang boleh dikawal.

Tuesday, November 3, 2015

Kepentingan Kewangan Peribadi – Bahagian 2

Seperti yang ditulis sebelum ini mengenai keseimbangan tunai adalah amat berkaitan dengan kesihatan kewangan kita. Ini adalah kerana keseimbangan ini adalah hasil daripada sikap kita dalam pengurusan kewangan kita. Pengurusan kewangan kita akan menghasilkan keseimbangan dalam aliran tunai kita sekiranya diurus dengan ilmu yang sentiasa berkembang selaras dengan kemudahan-kemudahan kewangan yang ditawarkan dalam pasaran terkini. Bagaimanakah semua ini mungkin?

Dalam menghasilkan keseimbangan aliran tunai kita yang sihat, perlulah kita dapat perhalusi aliran masuk dan keluar tunai kita supaya ianya dapat dikawal untuk memaksimumkan dalam simpanan dan pelaburan kita. Dengan pengurusan kewangan yang rapi, kita boleh mengesan ke mana hilangnya wang kita walaupun hanya RM 1. Mungkin ada yang menyatakan bahawa adalah amat cerewet untuk mencatit setiap satu perbelanjaan bagi setiap bulan. Namun, mesti ada hikmahnya dengan melakukan semua ini yakni wang untuk simpanan dapat dimaksimakan. Saya tidak menafikan ada yang meletakkan sebahagian amaun untuk perbelanjaan untuk setiap bulan supaya tidak leceh untuk menguruskan setiap perbelanjaan tersebut. Walau bagaimanapun, amaun tersebut dapat dikesan dengan memberikan segala senarai perbelanjaan supaya ianya lebih rasional kerana agar tidak terlampau rendah atau terlampau tinggi daripada perbelanjaan.


Setakat ini segala pengurusan kewangan yang dibincangkan adalah berdasarkan pengetahuan yang asas daripada gaji yang masuk setiap bulan dan perbelanjaan yang keluar setiap bulan. Ianya dapat dioptimumkan lebih lagi sekiranya dapat menggunakan kemudahan-kemudahan kewangan yang terdapat di pasaran. Ianya akan dibincangkan pada masa akan datang.

Saturday, October 31, 2015

Kepentingan Kewangan Peribadi – Bahagian 1

Kenapakah pengurusan kewangan peribadi amat penting dalam kehidupan seharian kita sekiranya ingin mencapai status “financially freed”? Apakah unsu-unsur yang penting dalam menjamin kewangan peribadi kita selaras dengan matlamat kewangan kita? Apa? Keluar sama dengan masuk? Apakah yang boleh difahami dengan analogi tersebut? Sebagai seorang jurutera kimia/proses, keseimbangan jisim dan tenaga adalah amat penting. Sekiranya pemahaman terhadap keseimbangan jisim dan tenaga sudah kukuh maka mudahlah subjek-subjek yang akan datang. Saya secara peribadi mengalami trauma dalam subjek ini sewaktu tahun pertama pengajian dengan mitos bahawa subjek keseimbangan jisim dan tenaga amat sukar dan selalunya pelajar akan gagal.

Selalunya mitos akan mempengaruhi cara pemikiran kita sekiranya tidak dilengkapi dengan ilmu yang betul dan cukup dalam memahami sesuatu perkara. Kembali kepada subjek keseimbangan jisim dan tenaga, pada awalnya berasa sukar kerana perasaan takut dengan cerita-cerita mitos daripada rakan-rakan senior yang telah diturunkan generasi ke generasi. Haha atau huhu? Haha! Memandangkan pensyarah kami pada tahun dibahagikan kepada dua (2) pensyarah; satu pensyarah untuk keseimbangan jisim dan satu pensyarah lagi untuk keseimbangan tenaga, saya mendapati subjek tu agak sukar difahami pada awalnya kerana cara penyampaian lebih berpandukan teori semata-mata. Nota untuk keseimbangan jisim yang disediakan pensyarah pertama lagi tebal daripada buku teks untuk keseluruhan silibes dan nota daripada pensyarah kedua yang ditugaskan untuk keseimbangan tenaga adalah kurang 50 muka surat. Untuk pengetahuan semua, untuk memahami keseimbangan tenaga, kita perlu asas yang kuat dalam keseimbangan jisim. Boleh bayangkan dilema kami semua pada tahun itu? Ya! Memang seram!
 
Apa yang saya ingin sampaikan di sini dalam pengurusan kewangan peribadi adalah mengenai cara pengajaran dan pembelajaran akan memberi impak yang besar dalam menghasilkan sesuatu keberkesanan. Oleh yang demikian, pelajari ilmu kewangan supaya kita akan boleh menghasilkan suatu impak yang amat berkesan dalam mencapai matlamat kita untuk “financially freed”.


Mungkin ramai yang masih buntu mengenai kaitan subjek saya ambil sebagai seorang pelajar kejuruteraan kimia dengan kewangan peribadi kita. Seperti yang diilustrasikan dalam maksud perkataan “keseimbangan” maka amatlah penting juga dalam keseimbangan kewangan kita dalam memantau aliran tunai kita. Pengurusan aliran tunai yang mantap akan menghasilkan suatu keseimbangan dalam kewangan peribadi kita yakni aliran kemasukan dan keluaran dapat dikenal pasti. Sekiranya kita dapat kenal pasti segala yang masuk dan keluar, barulah kita dapat mengoptimumkan simpanan kita dan seterusnya dapat meneruskan agenda dalam pelaburan untuk mencapai kebebasan kewangan. Pengurusan aliran tunai yang mantap adalah faktor utama dalam mencerminkan kejayaan sesebuah syarikat kerana keuntungan dan kerugian dapat dilihat dan dapat diunjurkan dalam mengoptimumkannya di masa hadapan. Nantikan kemunculan artikel baru mengenai kepentingan kewangan peribadi yang akan mengulas berpandukan pengalaman peribadi saya dalam menguruskan aliran tunai untuk memaksimakan simpanan untuk pelaburan terutamanya dalam hartanah.