Showing posts with label Pinjaman Peribadi. Show all posts
Showing posts with label Pinjaman Peribadi. Show all posts

Tuesday, December 1, 2015

Beli Rumah

Membeli rumah bukanlah seperti membeli barangan runcit di kedai atau di pasar malam sekiranya ianya dilakukan tanpa ilmu pengetahuan yang betul. Maksudnya? Mesti ramai akan bertanya adakah membeli rumah semudah membeli barangan runcit di kedai atau pasar malam. Apakah respon kita semua sekiranya saya nyatakan ianya lebih mudah berbanding membeli barangan runcit di kedai atau pasar malam? Hihi!! Gelak la sikit bagi menceriakan hari anda. Hah! Kan nampak lebih bertenaga apabila senyum atau gelak.

Okay, mari kita dengan lebih terperinci bagaimanakah ianya dikatakan membeli rumah bukan semudah membeli barangan runcit malah lebih mudah daripada membeli barangan runcit. Mengapakah saya menyatakan sedemikian? Ianya mudah kerana hampir 99.9% transaksi pembelian rumah dilakukan oleh peguam yang anda lantik dan kita sebagai pembeli amat mengerti dengan strategi yang terlibat dalam membeli rumah. Saya ingin tekankan di sini bahawa transaksi sahaja yang dilakukan oleh peguam bukan penilaian terhadap sesebuah hartanah yang kita telah kenal pasti. Penilaian terhadap hartanah atau rumah itulah yang memerlukan strategi dan ilmu dalam merealisasikan impian untuk memiliki rumah.

Dilemma dalam memiliki rumah mempunya dua (2) tahap yang berbeza yakni pembeli rumah yang pertama dan pembeli rumah yang ketiga dan ke atas. Kenapakah sedemikan senarionya? Jika soalan ini terdetik di pemikiran anda, maka, ianya menunjukkan anda hampir faham apa yang ingin saya sampaikan. Jika tidak terdetik dengan soalan tersebut, tidak mengapa kerana anda akan fahami sekejap lagi dengan membaca huraian seterusnya.
Mengapakah sebagai pembeli rumah pertama, kita mempunyai sejuta dan satu kesangsian yang membelenggu kita dalam merealisasikan impian untuk memiliki rumah pertama. Kesangsian pertama yang paling popular adalah “bagaimanakah untuk membeli?”, “di manakah untuk dapatkan duit bagi pembelian rumah tersebut?”, “di manakah lokasi yang sesuai untuk aku nak beli rumah?”, “aku nak beli rumah banglo tak mampu, semi-D pun tak mampu, rumah teres pun tak mampu, kondominium pun tak mampu, apartment mungkin mampu, tapi…… aku graduan jurusan kejuruteraan, takkanlah aku nak duduk rumah apartment atau flat macam rumah ini?”, dan banyak lagi kesangsian yang membantutkan impian anda untuk membeli rumah pertama. Ianya menjadi semakin parah apabila tiada kenalan kita yang sanggup menasihati kita dalam membeli rumah pertama kita. Menjadi parah dan kritikal apabila ada yang sanggup menasihati tetapi tidak mengambil tindakkan untuk mendapatkan rumah pertama kita. Kes kedua adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri di mana saya selalu sarankan kepada beliau untuk membeli rumah pertama yang mana bayaran bulanan hampir sama dengan bayaran sewa yang didiaminya sekarang. Namun, hasilnya masih tidak mengambil tindakkan untuk memiliki rumah pertama tersebut.


Dilemma kedua adalah bagi yang ingin membeli rumah ketiga dan lebih lagi apabila tawaran pihak bank kepada mereka agak terbantuk kerana margin pinjaman sudah pun dikurangkan sebanyak tambahan 20% yakni hanya dibenarkan untuk pembiayaan sebanyak 70% daripada harga jualan atau harga pasaran (yang mana yang lebih rendah). Dilemma tetapi akan menjadi dilemma sekiranya tiada sebarang tindakkan diambil untuk mengurangkan dan seterusnya menghilangkan terus dilemma tersebut bagi membolehkan kita maju ke hadapan dengan lebih yakin dan bersemangat. Saya kongsikan sedikit sebanyak sebagai permulaan untuk titik permulaan dalam merealisasikan untuk memiliki rumah pertama atau yang ketiga dan selebihnya akan dikongsi dalam artikel-artikel yang akan datang. Sila tinggalkan komen jika mempunyai sebarang kesangsian dalam merealisasikan impian anda untuk memiliki rumah pertama atau rumah ketiga dan lebih lagi.

Sunday, November 29, 2015

Berapa Murah Itu Murah?

Kita saban kali digalakkan untuk membandingkan harga untuk mendapatkan harga yang terbaik yakni yang paling murah. Kita mungkin betul dalam membandingkan sesuatu produk atau servis dalam menilai harga terhadap apa yang ditawarkan namun ada juga masa tertentu kita menilai tanpa membandingkan dengan apa yang patut dibandingkan. Contoh paling ketara adalah apabila membeli sebuah kereta di mana kita mungkin membandingkan jenama yang sama tetapi keperluan yang berlainan. Sebagai contoh kita mungkin akan membandingkan harga sebuah kereta Honda City dengan Honda Accord di mana ianya berada dalam kategori yang sememangnya sudah lain. Jadi, apakah model yang patut dibandingkan sekiranya ingin membeli kereta yang sama famili dengan Honda City? Ya! Anda tepat! Kereta yang mungkin boleh dibandingkan adalah terhadap Toyota Vios, Kia Forte, Chevrolet Cruze, dan seumpamanya.
Sedemikan juga dalam menilai sesebuah takaful yang ditawarkan, servis yang ditawarkan oleh peguam dalam membuat transaksi beli rumah, servis yang ditawarkan oleh perancang kewangan bertauliah, dan banyak lagi. Contoh yang boleh diambil dalam perkhidmatan takaful, sebagai seorang ejen takaful yang bertauliah amatlah penting dalam menasihatkan produk yang paling sesuai dengan klien berbanding kepentingan sendirinya untuk mencapat target jualan semata-mata. Saya tidak menafikan terdapat banyak ejen takaful yang amat membantu dalam membuat pilihan produk takaful berpandukan keperluan kita. Selain itu, dalam memilih peguam juga janganlah berkira dalam membayar yuran guaman sekiranya servis yang ditawarkan amat berbaloi. Bagaimanakah untuk menilai sama ada amat berbaloi atau tidak? Bagi saya daripada pengalaman peribadi, amatlah penting dapatkan rujukan daripada kawan-kawan yang pernah menjalankan urus niaga dengan peguam yang disarankan itu. Di sini saya ingin kongsikan pengalaman agak pahit bagi saya dalam menjalankan transaksi pembelian rumah di mana peguam yang dilantik memberi sejuta dan satu alasan dalam melewatkan urus niaga tersebut. Untuk pengetahuan semua, salah satu alasan yang kerap diberikan oleh peguam tersebut adalah saudaranya yang baru sudah meninggal dunia dan setakat menguruskan transaksi pembelian rumah tersebut, sudah hamper 20 saudara peguam tersebut telah meninggal dunia. Oleh yang demikian, jadikan diri anda agak cerewet dalam memilih peguam dalam menguruskan transaksi pembelian rumah anda.


Begitu juga dalam memilih produk-produk yang ditawarkan oleh pihak bank di mana perlu memihak kepada kita yakni boleh membina lebih banyak kekayaan daripada produk yang ditawarkan itu. Dalam menilai dan membandingkan mengenai harga sesuatu produk atau servis tidaklah kepada harga semata-mata. Saya sebagai seorang jurutera dalam memilih sesuatu teknologi perlulah dinilai daripada keperluan teknologi tersebut dan seterusnya baru kepada harga. Justeru itu, saya sarankan supaya dalam menilai sesuatu produk atau khidmat perlu kita membuat “technical bid evaluation” supaya ianya boleh memenuhi kriteria kita. Selamat mencuba dalam membuat penilaian dan perbandingan supaya kita lebih tahu terhadap apa yang diperlukan daripada apa yang ditawarkan semata-mata.

Saturday, October 24, 2015

Simpanan

Berapakah simpanan kita setakat ini? Mampukah ianya dipanggil simpanan untuk menampung perbelanjaan bulanan kita sekurang-kurangnya selama enam (6) bulan? Apakah kepentingan daripada simpanan wang hasil gaji kita? Adakah seseorang yang bergelar sebagai pelabur memulakan pelaburannya tanpa mempunyai sebarang simpanan atau di dunia pelaburan tanpa mempunyai tunai di tangan?

Sikap kita dalam memupuk untuk menyimpan wang gaji atau lebih dikenali sebagai perolehan aktif yakni diperoleh dengan hasil kita bekerja bukan wang yang bekerja adalah faktor utama yang meyakinkan kita sama ada berdisiplinkah kita dalam menceburkan diri dalam pelaburan. Ini adalah kerana pengurusan kewangan peribadi memainkan peranan yang penting sebelum bermulanya sesuatu pelaburan. Sekiranya kita tidak dapat menguruskan pendapatan actif mana mungkin dapat menguruskan pendapatan pasif.

Peruntukkan sebahagian daripada gaji kita untuk simpanan atau untuk pelaburan tidaklah begitu sukar sekiranya kita dilengkapi dengan ilmu dengan disiplin untuk diamalkan. Ini adalah kerana kejayaan dalam pelaburan adalah amat bergantung kepada disiplin atau sikap kita untuk berjaya. Sikap kita yang berpaksikan disiplin amatlah penting untuk memupuk sikap menabung secara konsisten bagi menjamin keperluan kecemasan yang mencukupi di samping sebagai permulaan untuk pelaburan.

Bagi yang sudah memulakan aktiviti menabung sewaktu kecil di sekolah sehingga istiqamah ke alam kerjaya, syabas saya ucapkan kerana dapat mendisiplinkan diri memupuk sikap menabung. Sekiranya belum, apakah anda patut lakukan? Sudah semestinya memulakan secepat mungking supaya tidak ketinggalan jauh. Selagi mana anda sudah memulakan walaupun seminit yang sudah, anda tidaklah dikira sebagai sudah terlambat malah anda masih bersama orang sudah menabung.

Saya ingin tekankan di sini bahawa amoun bukanlah perkara yang amat penting dalam memupuk sikap menabung malah konsistensi adalah faktor utama dalam mereliasasikan matlamat menabung kita yang seterusnya akan menjadi panduan untuk memulakan pelaburan. Pelaburan yang mungkin boleh dibincangkan daripada pelbagai peluang yang berlandaskan syariat Islam. Namun, saya secara peribadi akan membincangkan pelaburan hartanah di masa akan datang.

Sebagai contoh kita boleh andaikan satu senario; Afnan memulakan kerjayanya sebagai seorang jurutera dengan gaji sebanyak RM 2,000 dan memaksa untuk menyimpan sebanyak RM 1,000 walhal kos sara hidup beliau adalah melebihi RM 1,000 berdasarkan keadaan ekonomi sekarang. Maka, Afnan seharusnya lebih bersikap realistik supaya simpanan daripada sebahagian gajinya akan konsisten dari masa ke semasa. Jadi, apakah peratus simpanan yang rasional bagi beliau? Saya sarankan simpanan beliau boleh ditingkatkan sebanyak 5% setiap tahun yang mana permulaannya boleh dimulakan dengan 5% daripada gajinya. Setelah simpanan ini menjadi amalan, secara otomatiknya kita boleh Nampak kesan yang menakjubkan di mana kita akan teruja untuk meningkatkan simpanan kita dan seterusnya akan mendapatkan keyakinan untuk memulakan pelaburan kita walaupun pada mulanya mungkin permulaan yang kecil tetapi kesannya amat memberangsankang.

Nantikan artikel-artikel pada masa akan datang terutamanya mengenai kewangan peribadi dan pelaburan hartanah yang akan dikongsikan berdasarkan pengalaman peribadi saya.

Thursday, August 27, 2015

Pemilihan Kad Kredit

Apakah kriteria dalam memilih kad kredit semasa wakil pemasaran sesebuah bank menghampiri kita? Apakah soalan-soalan yang patut ditanya? Adakah mereka akan melayan pertanyaan-pertanyaan kita? 

Pertama sekali kita perlu pastikan bahawa tiada sebarang bayaran tahunan (annual fees) yang akan dikenakan. Pengecualian bayaran tahunan ini mungkin bersyarat atau tidak bersyarat tertakluk terma dan syarat sesebuah bank tersebut. Rasa loya dengan perkataan "terma dan syarat"? Walaupun rasa loya namun seorang ibu yang mengandungkan anak tidak akan berputus asa dalam mendapatkan zuriat kerana sedia maklum yang kegembiraan dalam mempunyai anak. Oleh yang demikian, biasakanlah dengan perkataan-perkataan perbankan supaya kita akan dilayan seperti wakil korporat semasa mengajukan sebarang soalan kepada pihak-pihak bank.

Kebiasaannya pengecualian bersyarat adalah seperti kita mesti menggunakan kad kredit tersebut sekurang-kurangnya tiga (3) kali dalam sebulan dan seumpamanya. Ada yang akan bertanyakan sama ada apa yang perlu dibelanjakan sebanyak tiga (3) kali dalam sebulan. Namun, kita perlu ingat secara sedar atau tidak kita akan mengisi petrol untuk kereta atau motosikal sekurang-kurangnya sekali seminggu dan ini semestinya memastikan kita telah pun memenuhi kriteria untuk mendapat pengecualian yuran tahunan. Apakah kebaikan mengisi dengan kad kredit berbanding dengan tunai? Sebarang perbelanjaan melalui kad kredit akan direkodkan dalam penyata di mana ianya adalah percuma. Dengan adanya penyata ini, kita dapat merekod, mengawal, dan memaksimakan simpanan duit kita daripada gaji untuk pelaburan.

Pengecualian tanpa bersyarat selalunya amat jarang dan sekiranya dapat amatlah pengguna yang bertuah. Secara peribadi, kad kredit yang tidak mempunyai sebarang syarat untuk menikmati pengecualian yuran tahunan adalah kad kredit daripada Bank Rakyat Berhad.

Kita perlulah tahu apakah kelebihan dan keburukan sesuatu produk sebelum membelinya kerana tanpa mengkaji semua ini sudah pasti kita tidak tahu akan fungsi produk tersebut. Produk di sini tidak terhad kepada kad kredit malah merangkumi produk perbankan lain seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, dan sebagainya. Oleh yang demikian, ringankan mulut untuk membaca dan bertanya sekiranya mempunyai sebarang keraguan terhadap sebarang produk. Selamat ber-kad kredit.