Sunday, November 29, 2015

Berapa Murah Itu Murah?

Kita saban kali digalakkan untuk membandingkan harga untuk mendapatkan harga yang terbaik yakni yang paling murah. Kita mungkin betul dalam membandingkan sesuatu produk atau servis dalam menilai harga terhadap apa yang ditawarkan namun ada juga masa tertentu kita menilai tanpa membandingkan dengan apa yang patut dibandingkan. Contoh paling ketara adalah apabila membeli sebuah kereta di mana kita mungkin membandingkan jenama yang sama tetapi keperluan yang berlainan. Sebagai contoh kita mungkin akan membandingkan harga sebuah kereta Honda City dengan Honda Accord di mana ianya berada dalam kategori yang sememangnya sudah lain. Jadi, apakah model yang patut dibandingkan sekiranya ingin membeli kereta yang sama famili dengan Honda City? Ya! Anda tepat! Kereta yang mungkin boleh dibandingkan adalah terhadap Toyota Vios, Kia Forte, Chevrolet Cruze, dan seumpamanya.
Sedemikan juga dalam menilai sesebuah takaful yang ditawarkan, servis yang ditawarkan oleh peguam dalam membuat transaksi beli rumah, servis yang ditawarkan oleh perancang kewangan bertauliah, dan banyak lagi. Contoh yang boleh diambil dalam perkhidmatan takaful, sebagai seorang ejen takaful yang bertauliah amatlah penting dalam menasihatkan produk yang paling sesuai dengan klien berbanding kepentingan sendirinya untuk mencapat target jualan semata-mata. Saya tidak menafikan terdapat banyak ejen takaful yang amat membantu dalam membuat pilihan produk takaful berpandukan keperluan kita. Selain itu, dalam memilih peguam juga janganlah berkira dalam membayar yuran guaman sekiranya servis yang ditawarkan amat berbaloi. Bagaimanakah untuk menilai sama ada amat berbaloi atau tidak? Bagi saya daripada pengalaman peribadi, amatlah penting dapatkan rujukan daripada kawan-kawan yang pernah menjalankan urus niaga dengan peguam yang disarankan itu. Di sini saya ingin kongsikan pengalaman agak pahit bagi saya dalam menjalankan transaksi pembelian rumah di mana peguam yang dilantik memberi sejuta dan satu alasan dalam melewatkan urus niaga tersebut. Untuk pengetahuan semua, salah satu alasan yang kerap diberikan oleh peguam tersebut adalah saudaranya yang baru sudah meninggal dunia dan setakat menguruskan transaksi pembelian rumah tersebut, sudah hamper 20 saudara peguam tersebut telah meninggal dunia. Oleh yang demikian, jadikan diri anda agak cerewet dalam memilih peguam dalam menguruskan transaksi pembelian rumah anda.


Begitu juga dalam memilih produk-produk yang ditawarkan oleh pihak bank di mana perlu memihak kepada kita yakni boleh membina lebih banyak kekayaan daripada produk yang ditawarkan itu. Dalam menilai dan membandingkan mengenai harga sesuatu produk atau servis tidaklah kepada harga semata-mata. Saya sebagai seorang jurutera dalam memilih sesuatu teknologi perlulah dinilai daripada keperluan teknologi tersebut dan seterusnya baru kepada harga. Justeru itu, saya sarankan supaya dalam menilai sesuatu produk atau khidmat perlu kita membuat “technical bid evaluation” supaya ianya boleh memenuhi kriteria kita. Selamat mencuba dalam membuat penilaian dan perbandingan supaya kita lebih tahu terhadap apa yang diperlukan daripada apa yang ditawarkan semata-mata.

No comments:

Post a Comment