Showing posts with label Pelaburan. Show all posts
Showing posts with label Pelaburan. Show all posts

Sunday, November 29, 2015

Berapa Murah Itu Murah?

Kita saban kali digalakkan untuk membandingkan harga untuk mendapatkan harga yang terbaik yakni yang paling murah. Kita mungkin betul dalam membandingkan sesuatu produk atau servis dalam menilai harga terhadap apa yang ditawarkan namun ada juga masa tertentu kita menilai tanpa membandingkan dengan apa yang patut dibandingkan. Contoh paling ketara adalah apabila membeli sebuah kereta di mana kita mungkin membandingkan jenama yang sama tetapi keperluan yang berlainan. Sebagai contoh kita mungkin akan membandingkan harga sebuah kereta Honda City dengan Honda Accord di mana ianya berada dalam kategori yang sememangnya sudah lain. Jadi, apakah model yang patut dibandingkan sekiranya ingin membeli kereta yang sama famili dengan Honda City? Ya! Anda tepat! Kereta yang mungkin boleh dibandingkan adalah terhadap Toyota Vios, Kia Forte, Chevrolet Cruze, dan seumpamanya.
Sedemikan juga dalam menilai sesebuah takaful yang ditawarkan, servis yang ditawarkan oleh peguam dalam membuat transaksi beli rumah, servis yang ditawarkan oleh perancang kewangan bertauliah, dan banyak lagi. Contoh yang boleh diambil dalam perkhidmatan takaful, sebagai seorang ejen takaful yang bertauliah amatlah penting dalam menasihatkan produk yang paling sesuai dengan klien berbanding kepentingan sendirinya untuk mencapat target jualan semata-mata. Saya tidak menafikan terdapat banyak ejen takaful yang amat membantu dalam membuat pilihan produk takaful berpandukan keperluan kita. Selain itu, dalam memilih peguam juga janganlah berkira dalam membayar yuran guaman sekiranya servis yang ditawarkan amat berbaloi. Bagaimanakah untuk menilai sama ada amat berbaloi atau tidak? Bagi saya daripada pengalaman peribadi, amatlah penting dapatkan rujukan daripada kawan-kawan yang pernah menjalankan urus niaga dengan peguam yang disarankan itu. Di sini saya ingin kongsikan pengalaman agak pahit bagi saya dalam menjalankan transaksi pembelian rumah di mana peguam yang dilantik memberi sejuta dan satu alasan dalam melewatkan urus niaga tersebut. Untuk pengetahuan semua, salah satu alasan yang kerap diberikan oleh peguam tersebut adalah saudaranya yang baru sudah meninggal dunia dan setakat menguruskan transaksi pembelian rumah tersebut, sudah hamper 20 saudara peguam tersebut telah meninggal dunia. Oleh yang demikian, jadikan diri anda agak cerewet dalam memilih peguam dalam menguruskan transaksi pembelian rumah anda.


Begitu juga dalam memilih produk-produk yang ditawarkan oleh pihak bank di mana perlu memihak kepada kita yakni boleh membina lebih banyak kekayaan daripada produk yang ditawarkan itu. Dalam menilai dan membandingkan mengenai harga sesuatu produk atau servis tidaklah kepada harga semata-mata. Saya sebagai seorang jurutera dalam memilih sesuatu teknologi perlulah dinilai daripada keperluan teknologi tersebut dan seterusnya baru kepada harga. Justeru itu, saya sarankan supaya dalam menilai sesuatu produk atau khidmat perlu kita membuat “technical bid evaluation” supaya ianya boleh memenuhi kriteria kita. Selamat mencuba dalam membuat penilaian dan perbandingan supaya kita lebih tahu terhadap apa yang diperlukan daripada apa yang ditawarkan semata-mata.

Tuesday, November 3, 2015

Kepentingan Kewangan Peribadi – Bahagian 2

Seperti yang ditulis sebelum ini mengenai keseimbangan tunai adalah amat berkaitan dengan kesihatan kewangan kita. Ini adalah kerana keseimbangan ini adalah hasil daripada sikap kita dalam pengurusan kewangan kita. Pengurusan kewangan kita akan menghasilkan keseimbangan dalam aliran tunai kita sekiranya diurus dengan ilmu yang sentiasa berkembang selaras dengan kemudahan-kemudahan kewangan yang ditawarkan dalam pasaran terkini. Bagaimanakah semua ini mungkin?

Dalam menghasilkan keseimbangan aliran tunai kita yang sihat, perlulah kita dapat perhalusi aliran masuk dan keluar tunai kita supaya ianya dapat dikawal untuk memaksimumkan dalam simpanan dan pelaburan kita. Dengan pengurusan kewangan yang rapi, kita boleh mengesan ke mana hilangnya wang kita walaupun hanya RM 1. Mungkin ada yang menyatakan bahawa adalah amat cerewet untuk mencatit setiap satu perbelanjaan bagi setiap bulan. Namun, mesti ada hikmahnya dengan melakukan semua ini yakni wang untuk simpanan dapat dimaksimakan. Saya tidak menafikan ada yang meletakkan sebahagian amaun untuk perbelanjaan untuk setiap bulan supaya tidak leceh untuk menguruskan setiap perbelanjaan tersebut. Walau bagaimanapun, amaun tersebut dapat dikesan dengan memberikan segala senarai perbelanjaan supaya ianya lebih rasional kerana agar tidak terlampau rendah atau terlampau tinggi daripada perbelanjaan.


Setakat ini segala pengurusan kewangan yang dibincangkan adalah berdasarkan pengetahuan yang asas daripada gaji yang masuk setiap bulan dan perbelanjaan yang keluar setiap bulan. Ianya dapat dioptimumkan lebih lagi sekiranya dapat menggunakan kemudahan-kemudahan kewangan yang terdapat di pasaran. Ianya akan dibincangkan pada masa akan datang.

Saturday, October 31, 2015

Kepentingan Kewangan Peribadi – Bahagian 1

Kenapakah pengurusan kewangan peribadi amat penting dalam kehidupan seharian kita sekiranya ingin mencapai status “financially freed”? Apakah unsu-unsur yang penting dalam menjamin kewangan peribadi kita selaras dengan matlamat kewangan kita? Apa? Keluar sama dengan masuk? Apakah yang boleh difahami dengan analogi tersebut? Sebagai seorang jurutera kimia/proses, keseimbangan jisim dan tenaga adalah amat penting. Sekiranya pemahaman terhadap keseimbangan jisim dan tenaga sudah kukuh maka mudahlah subjek-subjek yang akan datang. Saya secara peribadi mengalami trauma dalam subjek ini sewaktu tahun pertama pengajian dengan mitos bahawa subjek keseimbangan jisim dan tenaga amat sukar dan selalunya pelajar akan gagal.

Selalunya mitos akan mempengaruhi cara pemikiran kita sekiranya tidak dilengkapi dengan ilmu yang betul dan cukup dalam memahami sesuatu perkara. Kembali kepada subjek keseimbangan jisim dan tenaga, pada awalnya berasa sukar kerana perasaan takut dengan cerita-cerita mitos daripada rakan-rakan senior yang telah diturunkan generasi ke generasi. Haha atau huhu? Haha! Memandangkan pensyarah kami pada tahun dibahagikan kepada dua (2) pensyarah; satu pensyarah untuk keseimbangan jisim dan satu pensyarah lagi untuk keseimbangan tenaga, saya mendapati subjek tu agak sukar difahami pada awalnya kerana cara penyampaian lebih berpandukan teori semata-mata. Nota untuk keseimbangan jisim yang disediakan pensyarah pertama lagi tebal daripada buku teks untuk keseluruhan silibes dan nota daripada pensyarah kedua yang ditugaskan untuk keseimbangan tenaga adalah kurang 50 muka surat. Untuk pengetahuan semua, untuk memahami keseimbangan tenaga, kita perlu asas yang kuat dalam keseimbangan jisim. Boleh bayangkan dilema kami semua pada tahun itu? Ya! Memang seram!
 
Apa yang saya ingin sampaikan di sini dalam pengurusan kewangan peribadi adalah mengenai cara pengajaran dan pembelajaran akan memberi impak yang besar dalam menghasilkan sesuatu keberkesanan. Oleh yang demikian, pelajari ilmu kewangan supaya kita akan boleh menghasilkan suatu impak yang amat berkesan dalam mencapai matlamat kita untuk “financially freed”.


Mungkin ramai yang masih buntu mengenai kaitan subjek saya ambil sebagai seorang pelajar kejuruteraan kimia dengan kewangan peribadi kita. Seperti yang diilustrasikan dalam maksud perkataan “keseimbangan” maka amatlah penting juga dalam keseimbangan kewangan kita dalam memantau aliran tunai kita. Pengurusan aliran tunai yang mantap akan menghasilkan suatu keseimbangan dalam kewangan peribadi kita yakni aliran kemasukan dan keluaran dapat dikenal pasti. Sekiranya kita dapat kenal pasti segala yang masuk dan keluar, barulah kita dapat mengoptimumkan simpanan kita dan seterusnya dapat meneruskan agenda dalam pelaburan untuk mencapai kebebasan kewangan. Pengurusan aliran tunai yang mantap adalah faktor utama dalam mencerminkan kejayaan sesebuah syarikat kerana keuntungan dan kerugian dapat dilihat dan dapat diunjurkan dalam mengoptimumkannya di masa hadapan. Nantikan kemunculan artikel baru mengenai kepentingan kewangan peribadi yang akan mengulas berpandukan pengalaman peribadi saya dalam menguruskan aliran tunai untuk memaksimakan simpanan untuk pelaburan terutamanya dalam hartanah.