Kenapakah
pengurusan kewangan peribadi amat penting dalam kehidupan seharian kita
sekiranya ingin mencapai status “financially freed”? Apakah unsu-unsur yang
penting dalam menjamin kewangan peribadi kita selaras dengan matlamat kewangan
kita? Apa? Keluar sama dengan masuk? Apakah yang boleh difahami dengan analogi
tersebut? Sebagai seorang jurutera kimia/proses, keseimbangan jisim dan tenaga
adalah amat penting. Sekiranya pemahaman terhadap keseimbangan jisim dan tenaga
sudah kukuh maka mudahlah subjek-subjek yang akan datang. Saya secara peribadi
mengalami trauma dalam subjek ini sewaktu tahun pertama pengajian dengan mitos
bahawa subjek keseimbangan jisim dan tenaga amat sukar dan selalunya pelajar
akan gagal.
Selalunya
mitos akan mempengaruhi cara pemikiran kita sekiranya tidak dilengkapi dengan
ilmu yang betul dan cukup dalam memahami sesuatu perkara. Kembali kepada subjek
keseimbangan jisim dan tenaga, pada awalnya berasa sukar kerana perasaan takut
dengan cerita-cerita mitos daripada rakan-rakan senior yang telah diturunkan
generasi ke generasi. Haha atau huhu? Haha! Memandangkan pensyarah kami pada
tahun dibahagikan kepada dua (2) pensyarah; satu pensyarah untuk keseimbangan
jisim dan satu pensyarah lagi untuk keseimbangan tenaga, saya mendapati subjek
tu agak sukar difahami pada awalnya kerana cara penyampaian lebih berpandukan
teori semata-mata. Nota untuk keseimbangan jisim yang disediakan pensyarah
pertama lagi tebal daripada buku teks untuk keseluruhan silibes dan nota
daripada pensyarah kedua yang ditugaskan untuk keseimbangan tenaga adalah
kurang 50 muka surat. Untuk pengetahuan semua, untuk memahami keseimbangan
tenaga, kita perlu asas yang kuat dalam keseimbangan jisim. Boleh bayangkan dilema
kami semua pada tahun itu? Ya! Memang seram!
Apa
yang saya ingin sampaikan di sini dalam pengurusan kewangan peribadi adalah
mengenai cara pengajaran dan pembelajaran akan memberi impak yang besar dalam
menghasilkan sesuatu keberkesanan. Oleh yang demikian, pelajari ilmu kewangan
supaya kita akan boleh menghasilkan suatu impak yang amat berkesan dalam
mencapai matlamat kita untuk “financially freed”.
Mungkin
ramai yang masih buntu mengenai kaitan subjek saya ambil sebagai seorang
pelajar kejuruteraan kimia dengan kewangan peribadi kita. Seperti yang
diilustrasikan dalam maksud perkataan “keseimbangan” maka amatlah penting juga
dalam keseimbangan kewangan kita dalam memantau aliran tunai kita. Pengurusan
aliran tunai yang mantap akan menghasilkan suatu keseimbangan dalam kewangan
peribadi kita yakni aliran kemasukan dan keluaran dapat dikenal pasti.
Sekiranya kita dapat kenal pasti segala yang masuk dan keluar, barulah kita
dapat mengoptimumkan simpanan kita dan seterusnya dapat meneruskan agenda dalam
pelaburan untuk mencapai kebebasan kewangan. Pengurusan aliran tunai yang mantap adalah faktor utama dalam mencerminkan kejayaan sesebuah syarikat kerana
keuntungan dan kerugian dapat dilihat dan dapat diunjurkan dalam
mengoptimumkannya di masa hadapan. Nantikan kemunculan artikel baru mengenai
kepentingan kewangan peribadi yang akan mengulas berpandukan pengalaman
peribadi saya dalam menguruskan aliran tunai untuk memaksimakan simpanan untuk pelaburan terutamanya dalam hartanah.