Kita
saban kali digalakkan untuk membandingkan harga untuk mendapatkan harga yang
terbaik yakni yang paling murah. Kita mungkin betul dalam membandingkan sesuatu
produk atau servis dalam menilai harga terhadap apa yang ditawarkan namun ada
juga masa tertentu kita menilai tanpa membandingkan dengan apa yang patut
dibandingkan. Contoh paling ketara adalah apabila membeli sebuah kereta di mana
kita mungkin membandingkan jenama yang sama tetapi keperluan yang berlainan.
Sebagai contoh kita mungkin akan membandingkan harga sebuah kereta Honda City
dengan Honda Accord di mana ianya berada dalam kategori yang sememangnya sudah
lain. Jadi, apakah model yang patut dibandingkan sekiranya ingin membeli kereta
yang sama famili dengan Honda City? Ya! Anda tepat! Kereta yang mungkin boleh
dibandingkan adalah terhadap Toyota Vios, Kia Forte, Chevrolet Cruze, dan
seumpamanya.
Sedemikan
juga dalam menilai sesebuah takaful yang ditawarkan, servis yang ditawarkan
oleh peguam dalam membuat transaksi beli rumah, servis yang ditawarkan oleh
perancang kewangan bertauliah, dan banyak lagi. Contoh yang boleh diambil dalam
perkhidmatan takaful, sebagai seorang ejen takaful yang bertauliah amatlah
penting dalam menasihatkan produk yang paling sesuai dengan klien berbanding
kepentingan sendirinya untuk mencapat target jualan semata-mata. Saya tidak
menafikan terdapat banyak ejen takaful yang amat membantu dalam membuat pilihan
produk takaful berpandukan keperluan kita. Selain itu, dalam memilih peguam
juga janganlah berkira dalam membayar yuran guaman sekiranya servis yang
ditawarkan amat berbaloi. Bagaimanakah untuk menilai sama ada amat berbaloi
atau tidak? Bagi saya daripada pengalaman peribadi, amatlah penting dapatkan
rujukan daripada kawan-kawan yang pernah menjalankan urus niaga dengan peguam
yang disarankan itu. Di sini saya ingin kongsikan pengalaman agak pahit bagi
saya dalam menjalankan transaksi pembelian rumah di mana peguam yang dilantik
memberi sejuta dan satu alasan dalam melewatkan urus niaga tersebut. Untuk
pengetahuan semua, salah satu alasan yang kerap diberikan oleh peguam tersebut
adalah saudaranya yang baru sudah meninggal dunia dan setakat menguruskan
transaksi pembelian rumah tersebut, sudah hamper 20 saudara peguam tersebut
telah meninggal dunia. Oleh yang demikian, jadikan diri anda agak cerewet dalam
memilih peguam dalam menguruskan transaksi pembelian rumah anda.
Begitu
juga dalam memilih produk-produk yang ditawarkan oleh pihak bank di mana perlu
memihak kepada kita yakni boleh membina lebih banyak kekayaan daripada produk
yang ditawarkan itu. Dalam menilai dan membandingkan mengenai harga sesuatu
produk atau servis tidaklah kepada harga semata-mata. Saya sebagai seorang
jurutera dalam memilih sesuatu teknologi perlulah dinilai daripada keperluan
teknologi tersebut dan seterusnya baru kepada harga. Justeru itu, saya sarankan
supaya dalam menilai sesuatu produk atau khidmat perlu kita membuat “technical
bid evaluation” supaya ianya boleh memenuhi kriteria kita. Selamat mencuba
dalam membuat penilaian dan perbandingan supaya kita lebih tahu terhadap apa
yang diperlukan daripada apa yang ditawarkan semata-mata.